Ahad, 9 November 2008

Qum Fa Anzir!!!

Sejenak Untuk Memperbaharui Keimanan

Para da'i mukmin sentiasa terdedah kepada dua tarikan:
Pertama : Tarikan keimanan, niat, kesungguhan dan kesedarannya terhadap tanggungjawab. Dengan itu dia berada dalam amal salih dan azam kebaikan.
Kedua : Tarikan syaitan pula, menghiasi futurnya dan menghiasi cintanya kepada dunia. Menyebabkan dia berada dalam kelalaian, malas, panjang angan-angan dan berlengah-lengah dalam mempelajari apa yang tidak diketahuinya.
Berulang-alik di antara kedua-dua tarikan ini adalah suatu yang sudah ditentukan oleh Allah, tidak akan berhenti, terus berlaku. Oleh kerana itulah, orang-orang yang beriman telah mewajibkan kepada diri mereka untuk menghadiri majlis-majlis tafakkur dan saling nasihat-menasihati di antara satu sama lain. Memeriksa diri daripada dihinggapi penyakit takabbur atau menolak kebenaran. Memeriksa hati daripada diselubungi penyelewengan. Memeriksa ilmu dan iman daripada tergelincir yang membawa kepada bid'ah atau kecuaian yang membawa kepada meninggalkan mana-mana perintah Allah dan petunjuk.
Mu'az bin Jabal telah menterjemahkan perasaan ini dengan satu perkataan yang telah menjadi satu fasal daripada perlembagaan orang-orang yang beriman. Beliau telah berkata ketika mengingatkan sahabatnya:
إجلس بنا نؤمن ساعة
(Marilah kita duduk untuk perbaharui iman sejenak).
Perkataan ini telah diambil oleh Ibnu Rawaahah, lalu ia berkata kepada Abu ad Dardaa’ (ra) sambil memegang tangannya:
تعال نؤمن ساعة إن القلب أسرع تقلبا من القدر إذا استجمعت غليانا
(Marilah kita beriman sejenak. Sesungguhnya hati lebih cepat berbolakbalik
daripada isi periuk yang sedang menggelegak).
Lalu kita mengambil perkataan ini daripada mereka berdua. Nasihat-nasihat ini adalah tentang fiqhul da'wah. Kita menyeru para da'i untuk duduk sejenak dengan setiap nasihat untuk ia beriman dan mengkaji diri, ilmu dan kesungguhannya.

Da’i Adalah Pengembara Dan Penggerak (Muslim Haraki)

Da’i tidak perlu merasa gundah gulana sekiranya dia tidak mempunyai masa lebih untuk banyak berqiamullail setiap hari, dan memperbanyakkan khatam Al-Quran kerana sibuk dengan urusan dakwah. Ini kerana, gerak kerjanya di dalam dakwah seperti mengajar manusia, memimpin mereka, mendidik pemuda-pemudi Islam dan membentuk mereka dengan bentuk Islam yang sejati itu lebih utama baginya dan lebih banyak pahalanya.
Contoh bagi para da’i ialah tokoh-tokoh da’i dari ahli salaf yang mengembara di serata dunia untuk mengembangkan dakwah Islam dan menyampaikan risalah kepada manusia. Mereka memulakan bicara, dan bergaul dengan manusia lain dengan tujuan dakwah dan tidak menunggu-nunggu orang ramai untuk datang dan bertanya kepada mereka, tetapi mereka sendiri yang pergi menemui dan mendekati orang ramai untuk menyampaikan dakwah Islam dimana sahaja mereka berada. Begitulah sikap da’i yang sentiasa sedia berkhidmat walau di mana saja mereka berada.
Da’i Islam pada hari ini mesti menjadi pengembara di pelusuk kota, kampung, negeri dan di mana jua menurut kemampuan dan keupayaan mereka untuk menyampaikan seruan Islam kepada manusia. Sebagai contoh, lihatlah bagaimana Rasulullah SAW yang melawat ke lembah-lembah dan kampung-kampung pedalaman untuk menyampaikan kalimah Islam dan berita gembira tentang Islam kepada seluruh orang Arab. Baginda tidak menunggu mereka datang ke Madinah. Cubalah kalian saksikan, apakah jawapan baginda apabila seorang badwi bertanya tentang rukun Islam. Rasulullah s.a.w. menjawab : “Tidak aku tambah atau aku kurangkan sesuatupun darinya.”
Orang badwi tersebut ketika memulakan soalannya berkata: “Hai Muhammad, utusanmu telah datang kepada kami dan telah menyatakan kepada kami bahawa kamu mengatakan bahawa kamu adalah utusan Allah?” (Sahih Muslim, Jilid 1, m.s. 32)
Jelaslah bahawa utusan Rasulullah telah pergi menemui mereka sebagai da’I sebagaimana yang telah dilakukan oleh baginda Rasulullah s.a.w.. Manusia perlu dilawati. Barangsiapa yang hanya menunggu orang ramai datang kepadanya, orang itu bukanlah da’i.
Jika diperincikan kata-kata orang Arab tersebut, jelaslah kepada kita bahawa para sahabat yang berdakwah itu sanggup meninggalkan Madinah apabila mereka dihantar oleh Nabi s.a.w. untuk berdakwah kepada kaum tertentu. Mereka meninggalkan keluarga, rumah dan anak-anak mereka. Mereka mengharungi padang-padang pasir, bukit-bukau dan gunung-ganang. Mereka terdedah kepada bahaya, sanggup berpanas dan berhujan demi menyampaikan Islam.
Inilah dia bentuk dakwah yang ingin mencapai matlamatnya. Ia perlu bergerak dan bermula, pagi mahupun petang, dengan perbualan dan perkataan yang benar. Sikap duduk dan mengharap tidak akan sampai ke mana. Oleh itu, pelajarilah sejarah ahli salaf dan turutilah mereka. Pasti kamu akan sampai ke matlamat. Jika tidak, mundar-mandirlah sahaja di tempat kamu, dan kamu tidak akan sampai ke mana-mana.

Rujukan :
Muhammad Ahmad ar-Rashid (2000), al-Muntalaq, terj; “Langkah Bermula : Ust Hj Mohd Tahir Daeng Mengati”, Kuala Lumpur, Pustaka Usrah.

Tiada ulasan: