Isnin, 10 November 2008

Empat Golongan Dihadapan Kita (Pejuang dakwah)

Dihadapan kita, manusia terbahagi kepada empat golongan berikut:

1. Orang yang meyakini

Seorang yang meyakini dakwah kita, mempercayai kata-kata kita dan tertarik dengan prinsip-prinsip kita. Hatinya meyakini sepenuhnya kebaikan dakwah kita. Orang ini akan kita ajak supaya bersama kita dan bekerja bersama kita supaya dengan ini bilangan para mujahidin akan bertambah dan suara para pendakwah akan semakin berkumandang.
Tiada erti sebuah keyakinan tanpa disertakan dengan amalan. Tiada erti sebuah aqidah jika ia tidak mampu membawa manusia untuk merealisasikannya dan berkorban deminya. Begitulah sikap generasi pertama yang telah diberi hidayah. Mereka mengikut dan meyakini risalah para nabi kemudian mereka berjuang bersungguh-sungguh. Mereka akan menerima ganjaran yang besar daripada Allah. Mereka juga akan memperolehi ganjaran yang sama diperolehi oleh orang yang mengikut mereka. Tidak kurang walau sedikit.

Sedikit pandangan ana yang lemah :
Golongan ini sewajarnya as-Syubban sedaya upaya untuk menarik mereka kepada kebenaran Islam yang murni khususnya di peringkat menengah. Pelbagai altenatif dan wasilah yang boleh kita garapkan terhadap golongan ini khususnya melalui pendekatan Dakwah Fardiyyah (face to face with mad’u) sebelum dilaksanakan wasilah melalui pendekatan Usrah. Ini kerana, kaedah ta’lif al-Qalb (ikatan hati) sebelum penerangan atau dakwah secara halaqah boleh mematangkan mereka untuk menerima dakwah kita. Dan penonjolan kita secara DF dengan mereka juga adalah untuk memperkenalkan mereka dengan Islam secara syumul secara lebih dekat, mengasihi mereka atas dasar Islam, membantu mereka ketika memerlukan. Justeru itu, menambahkan lagi keyakinan mereka ini terhadap dakwah kita.
Sementara itu, waqi’iyyah kita pada waktu yang tidak mengizinkan sekarang (tahun 2008) telah berlaku pergelutan yang ketara dengan penasihat persatuan mereka, maka perkara ini perlu dititik beratkan untuk masa akan datang bagi menjaga kesinambungan tarbiyyah kita di sekolah dan tidak meninggalkan golongan yang memerlukan kita ditengah jalan. Yakinlah, masih ada yang mengharapkan kita, maka perlu bagi kita mengerahkan tenaga dan waktu kita untuk mereka mengenali Islam yang murni.

2. Orang yang sangsi

Orang yang masih belum memahami kebenaran atau masih tidak meyakini keikhlasan kita. Orang yang tidak meyakini betapa pentingnya apa yang kita katakan ini. Inilah orang yang tidak berpendirian dan sangsi. Orang ini akan kita biarkan bersama kesangsiannya. Namun kita nasihatkan agar dia terus berhubung dengan kita. Kita nasihatkan agar dia membaca tentang kita samada secara langsung atau tidak langsung. Dia boleh mengkaji tulisan-tulisan kita atau melawat cawangan-cawangan kita atau berkenalan dengan saudara-saudara kita. Dengan izin Allah selepas itu dia akan merasa lebih yakin dengan kita. Begitulah kedudukan orang-orang yang sangsi di kalangan pengikut para rasul sebelum ini.

3. Orang yang berkepentingan

Orang yang tidak mahu menghulurkan bantuannya melainkan setelah mengetahui faedah atau keuntungan yang bakal diperolehi hasil segala pengorbanan yang dicurahkan. Bagi mereka ini kita katakana : minta maaf, kami tidak memiliki apa-apa ganjaran selain pahala yang Allah akan berikan jika anda ikhlas dan syurga jika Allah tahu hati budi baik anda. Kami tidak punya apa-apa kedudukan atau wang. Malah sebaliknya kami korbankan segala yang kami miliki. Harapan kami hanyalah keredhaan Allah. Allah adalah sebaik-sebaik pelindung dan sebaik-baik pemberi kemenangan.
Sekiranya Allah membuka segala tirai yang menutup hati orang ini atau Allah buang sifat tamak haloba daripada hatinya nescaya dia akan mengetahui bahawa apa yang Allah sediakan adalah lebih baik dan lebih kekal. Dia akan menggabungkan dirinya dengan katibah Allah, menggembeleng segala kekayaan dunia yang ada padanya supaya dia beroleh ganjaran Allah di hari muka. Apa yang ada pada kamu akan kehabisan dan apa yang ada pada Allah akan kekal.
Jika tirai ini masih utuh, Allah sebenarnya tidak memerlukan orang yang tidak memberikan keutamaan kepada Allah terhadap dirinya sendiri, hartanya, dunianya, akhiratnya, matinya dan hidupnya. Begitulah kedudukan sekumpulan manusia yang pernah menolak untuk member taat setia kepada Rasulullah s.a.w. melainkan jika baginda menyerahkan kekuasaan kepada mereka selepas kewafatan baginda. Jawapan baginda kepada mereka ialah bumi ini adalah hak Allah. Allah yang akan menyerahkannya kepada hambaNya yang dikehendakiNya. Segala kesudahan itu adalah untuk orang-orang yang bertaqwa.

4. Orang yang berprasangka

Orang ini prejudis dengan kita dan terlalu dikuasai oleh prasangka buruknya terhadap kita – na’uzubillahi min zalik, moga Allah jauhkan kita dan mereka daripada berprasangka buruk terhadap as-Syubban dan khususnya kepada perjuangan Islam -. Orang ini melihat kita dengan pandangan yang sangat buruk. Mereka hanya memperkatakan tentang kita dengan kata-kata yang memburuk-burukkan kita – ya Allah, ampunkan dosa mereka yang menuduh dan memburuk-burukkan as-Syubban dengan tuduhan tidak berasas sebagaimana yang diperkatakan sebagai pertubuhan JIM ataupun IRC - . Orang ini begitu degil dengan kesilapannya dan masih mahu mempertahankan salah fahamnya. Orang seperti ini kita akan doakan semoga Allah berikan kita dan dia supaya sama-sama boleh melihat kebenaran kemudian diberikan kekuatan untuk mengikutinya dan boleh melihat kepalsuan kemudian diberikan kekuatan untuk menjauhinya. Kita mengajak dia jika dia mahu menerima ajakan kita dan kita menyeru dia jika dia mahu menyahut seruan kita. Kita doakan kebaikan untuknya dan Allah adalah harapan kita. Allah telah turunkan sepotong ayat kepada nabiNya berkisar tentang segolongan manusia :

“Sesungguhnya Engkau (Wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam)”. (al-Qasas ; 56)
Walau bagaimanapun kita akan tetap mengasihi orang ini. Kita berharap semoga suatu masa nanti dia akan bersama kita serta yakin dengan dakwah kita. Pegangan kita bersama orang seperti ini ialah seperti sikap yang pernah ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. sebelum ini :
اللهم اغفر لقومى فإنهم لا يعلمون
“Ya Allah, ampunilah kaumku kerana mereka tidak tahu”.
Kita mahukan manusia termasuk dalam mana-mana satu daripada golongan ini. Sudah tiba masanya seorang muslim mengetahui matlamat dan halatuju hidupnya kemudian dia beramal menurut halatuju ini hingga matlamatnya tercapai. Kelekaan, kealpaan, mendengar dan menurut secara membabi buta bukanlah sifat orang yang beriman.

Pendirian sewajarnya bagi as-Syubban :
Inilah sikap dan pendirian seeloknya ditunjukkan dan dipamerkan oleh as-Syubban terhadap orang yang ada prasangka terhadap as-Syubban, bukannya dengan dendam dan marah yang mengikut nafsu ammarah tapi mestilah berpaksikan atas landasan syariah sekalipun dia tidak mengakui kesilapannya selepas terlanjur dalam menuduh terhadap kita yang berkemungkinan kerana untuk mempertahankan keegoannya, kerana perkara ini boleh menjatuhkan keaiban dan maruahnya beliau sebagai seorang … apabila mahu ditarik balik kata-katanya. Moga-moga - kita doakan - ada secebis dalam hatinya sifat kasihan belas dan hatinya berbalik mahu menerima kembali dan ingin melihat kesinambungan tarbiyyah di sekolah berjalan dengan lancar sebagaimana sebelum ini. Bukanlah suatu perkara yang mudah untuk kita mencapai perubahan dalam diri seseorang yang ditarbiyah, tapi ingatlah ia suatu perkara yang sukar jika tanpa pertolongan dari Allah. Allah tidak akan tanya kita berapa ramai dah yang kita berjaya ubah dan islah mad'u kearah perubahan yang menepati syakhsiyah Islam, tapi akan disoal samada kita buat atau tidak dakwah khususnya di sekolah, hasilnya terpulang kepada Allah kita hanya mampu untuk berusaha dengan melaksanakan dakwah. Mudah untuk kita menjatuhkan organisasi itu dari bertapak, tapi cukup susah untuk mencari gantian yang lain untuk bertapak melangsung tarbiyah di sekolah. Sekiranya dapat mencari ganti Alhamdulillah, tapi jika tidak tunggulah hari pengadilan untuk menjawab depan Rabbul Jalil atas apa yang dilakukan.

Sumber :
- Al-Imam as-Syahid Hasan al-Banna(2003), Majmu’ah Rasail, Pustaka Salam Sdn Bhd.
- Serta sedikit ulasan dari ana yang lemah.

Tiada ulasan: