Isnin, 9 Mac 2009

CIRI-CIRI PENTING DAIE

Firman Allah yang bermaksud:
“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah,
mengerjakan amal yang soleh dan berkata: Sesungguhnya aku termasuk orang-orang
yang menyerah diri.” (Fushilat: 33)

1. Pertama-tama, sebelum segala-galanya bermula, ikhlaskanlah niat kerana
Allah Taala semata-mata. Tanpa keikhlasan, segala urusan akan runtuh dan
musnah.

2. Menjiwai betapa besarnya tugas dan tanggungjawab yang dipikul. Dengan
itu dia akan memberikan perhatian yang selayaknya dengan tugas tersebut
dan dalam masa yang sama merasai ganjaran yang tidak ternilai menantinya.

3. Melaksanakan tugas dengan bijaksana, pandai memilih uslub
(pendekatan), memberi tunjuk ajar dan menasihati yang baik serta berbincang
dengan cara yang terbaik.

4. Hendaklah bersikap ramah mesra, mempermudahkan urusan dan memiliki
akhlak yang baik. Semua ini dilakukan dengan sabar, lemah lembut (tidak
cepat marah), mengharapkan pembalasan di sisi Allah hasil daripada
rintangan yang dihadapi ketika melaksanakan kerja-kerja dakwah, dan
menuruti jejak langkah Rasulullah s.a.w dan para daie yang mengikuti jejak
langkah Baginda s.a.w.

5. Memahami selok belok cara hidup dan budaya masyarakat yang dia
berkecimpung di dalamnya. Juga memahami aliran pemikiran dan isu-isu
yang berlaku di dalam masyarakat, serta berusaha untuk mengenali dengan
lebih mendalam mad’u yang didakwahnya.

6. Mempelajari dan mendalami sirah Rasulullah s.a.w dan sejarah Islam
untuk dijadikan bekalan. Dia akan mendapati di dalamnya terdapat pelbagai
bentuk penyelesaian masalah yang mampu membantunya menyelesaikan
masalah yang dihadapi. Begitu juga dengan beberapa pendirian yang diambil
oleh generasi muslimin yang pertama.

7. Menghafaz al-Quran sebanyak yang mampu untuk dijadikan dalil dalam
kerja-kerja dakwahnya. Pendekatan melalui kisah-kisah yang terdapat di
dalam al-Quran mempunyai kesan yang besar dalam jiwa.

8. Dalam setiap perbualan dan perbincangan, unsur akal (kefahaman dan
logik) hendaklah dipandukan dengan unsur perasaan dan kejiwaan.
Sesungguhnya membangkitkan unsur perasaan dan kejiwaan akan
mempersiapkan akal untuk menerima apa yang disampaikan kepadanya dan
meninggalkan kesan.

Dipetik dari buku Berdakwah kepada Allah (Dakwah Fardiah) tulisan Mustapha Masyhur.

Isnin, 9 Februari 2009

Teka-Teki Imam al-Ghazali

"Suatu hari, Imam Al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya lalu beliau bertanya (Teka Teki ) :

Imam Ghazali = ' Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini ?
Murid 1 = ' Orang tua '
Murid 2 = ' Guru '
Murid 3 = ' Teman '
Murid 4 = ' Kaum kerabat '

Imam Ghazali = ' Semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita ialah MATI. Sebab itu janji Allah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati ( Surah Ali-Imran :185).

Imam Ghazali = ' Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini ?'
Murid 1 = ' Negeri Cina '
Murid 2 = ' Bulan '
Murid 3 = ' Matahari '
Murid 4 = ' Bintang-bintang '
Iman Ghazali = ' Semua jawaban itu benar. Tetapi yang paling benar adalah MASA LALU. Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak akan dapat kembali ke masa yang lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini, hari esok dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama'.

Iman Ghazali = ' Apa yang paling besar didunia ini ?'
Murid 1 = ' Gunung '
Murid 2 = ' Matahari '
Murid 3 = ' Bumi '
Imam Ghazali = ' Semua jawaban itu benar, tapi yang besar sekali adalah HAWA NAFSU (Surah Al A'raf: 179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu kita membawa ke neraka.'

IMAM GHAZALI = ' Apa yang paling berat didunia? '
Murid 1 = ' Baja '
Murid 2 = ' Besi '
Murid 3 = ' Gajah '
Imam Ghazali = ' Semua itu benar, tapi yang paling berat adalah MEMEGANG AMANAH (Surah Al-Azab : 72 ). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka menjadi khalifah pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya berebut-rebut menyanggupi permintaan Allah SWT sehingga banyak manusia masuk ke neraka kerana gagal memegang amanah.'

Imam Ghazali = ' Apa yang paling ringan di dunia ini ?'
Murid 1 = ' Kapas'
Murid 2 = ' Angin '
Murid 3 = ' Debu '
Murid 4 = ' Daun-daun'
Imam Ghazali = ' Semua jawapan kamu itu benar, tapi yang paling ringan sekali didunia ini adalah MENINGGALKAN SOLAT. Gara-gara pekerjaan kita atau urusan dunia, kita tinggalkan solat '

Imam Ghazali = ' Apa yang paling tajam sekali di dunia ini? '
Murid- Murid dengan serentak menjawab = ' Pedang '
Imam Ghazali = ' Itu benar, tapi yang paling tajam sekali didunia ini adalah LIDAH MANUSIA. Kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri '

Jumaat, 2 Januari 2009

Salam Hijri

Assalamu'alaikum buat sahabat perjuangan yang jauh diperantauan yang sentiasa dahagakan ilmu dan mencarinya di setiap sudut dunia. insyaAllah, dengan adanya pelbagai bidang yang diceburi oleh umat Islam, maka dengan itu bolehlah untuk sama-sama kita bekerja untuk Islam dalam posisi masing-masing mengikut bidang yang dipelajari.

Sekarang sudah berlalu suatu waktu yang dahulunya kita sentiasa bersama dalam alam persekolahan. Dalam satu persatuan yang berteraskan Dakwah Ilallah, mengajak, menyeru sahabat-sahabat ke arah memahami Islam disamping diri sendiri. Teringat ketika dahulunya dalam satu program tarbiyyah sama-sama merasai asam garam dalam susah payah menjalani hidup seorang pejuang, demi melihat Islam tertegak di bumi barakah. Alangkah ruginya kita jika tidak mengambil secebis intifadah dari perjuangan dahulunya di alam persekolahan untuk diolah dalam kehidupan sekarangnya yang lebih mencabar.

Bagi sahabat bacth SPM tahun 2004, pastinya telah bertaburan ke seluruh negara samada dalam mencari permata-permata Islam atau yang bekerja untuk Islam, sudahnya berlaku perubahan paradigma yang jauh daripada zaman dulu-dulu di alam persekolahan. Inilah dia putaran roda dalam kehidupan, pastinya akan berlaku hijrah (perubahan ke arah kebaikan) pada diri insan pejuang masing-masing. Perubahan mestilah bermula dari 'dalam', hati yang sentiasa terikat dengan Allah pastinya tidakan akan tergelincir dari jalanNYA yang mustaqim. kemudian berlakulah hijrah minda ke arah memperkasakan keinteletualan dalam sistem Islam. dengan pemikiran yang sentiasa inginkan perubahan berlaku dalam masyarakat. mencari jalan untuk pembaharuan ke arah terlaksananya hukum-hukum Allah di dunia.

pemikiran ini mestilah bersifat tawassut (pertengahan), ini bermakna tidak terlalu extrem atau terlalu longgar. sifat pertengahan adalah sifat Nabi Muhammad SAW, sifat yang terbaik sebagaimana disebut dalam ayat al-Quran. inilah yang perlu ada pada diri pejuang, semoga ia tidak tergolong dalam golongan mutasaqitun 'ala toriq ad-Dakwah. Na'uzubillah.

marilah kita menjana perubahan pemikiran dalam setiap tindak tanduk dan perbuatan kita dalam kerja amal Islami yang kita dokongi selama ini, semoga semua mendapat barakah dari ilahi..

Siiru 'ala barakatillah...

Ahad, 7 Disember 2008

SALAM AIDIL ADHA 1426H

Sahabat yang dirahmati Allah sekalian...

Diucapkan selamat Hari Raya Idul Adha semoga semua sihat dan aman sentosa. Pada hari yang berbahagia ini hendaklah kita menyambut Hari Raya Idul Adha dengan penuh kesyukuran kepada Allah serta mengingati kebesarannya dengan melafazkan kalimah takbir dan tahmid di samping melakukan ibadat korban baki sesiapa yang mempunyai kemudahan dan kemampuan.

Hari Raya ini dikenal dengan Hari Raya Haji kerana bersempena dengan umat Islam pada hari ini sedang berhimpun di tanah suci Mekah untuk menunaikan ibadat haji atau dipanggil juga Hari Raya korban kerana diperintah supaya kita berkorban, sekaligus mengingatkan kita kembali sejarah pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Allah Ibrahim a.s, ketika Allah S.W.T memerintah beliau menyembelih korban kesayangannya iaitu Nabi Ismail a.s.

Perintah ini dilakukan oleh Nabi Ibrahim dengan penuh keikhlasan dan keyakinan serta mengatasi perasaan sayang kepada anaknya. Begitu juga anaknya Ismail dengan rela hati menyerah dirinya untuk dikorbankan demi menjunjung perintah Allah. Walaupun Allah menggantikan penyembelihan anaknya dengan tebusan seekor kibas, tetapi Allah sifatkan Nabi Ibrahim itu telah mengorbankan anak sulungnya, Nabi Ismail kerana kesungguhan dan azamnya melaksanakan perintah Allah melalui mimpinya yang benar itu.

Seperti mana Firman Allah S.W.T dalam Surah As-Saffaat ayat 103-105 yang bermaksud:

“Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah itu) dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya, atas tompok tanah (untuk disembelih) serta kami menyerunya: Wahai Ibrahim, “Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu,” demikianlah sebenarnya kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan”.
Allah menjelaskan bahawa perintah kepada Nabi Ibrahim supaya menyembelihkan anaknya itu sebagai ujian. Seperti mana Firman Allah dalam Surah As-Saffaat ayat 106-107 yang bermaksud:

” Sesungguhnya perintah ini ialah satu ujian yang nyata. Dan kami telah tebuskan anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar (kibas).”

Kepatuhan yang ditunjukkan oleh Ibrahim dan anaknya Ismail a.s adalah hasil daripada kecintaan kepada Allah S.W.T mengatasi kecintaan kepada sesuatu yang lain. Sewajarnya kepatuhan yang telah dilaksanakan oleh kedua-dua beranak ini menjadi ikutan dan tauladan kepada kita yang melaksanakan tuntutan dakwah dibumi barakah ini pada hari ini dalam melaksanakan tuntutan dan perintah Allah S.W.T. Sama-samalah kita teruskan perjuangan untuk memastikan Kalimah Toiyyibah ini tertegak di bumi barakah, jauhilah kita semua dari mencari kepentingan peribadi daripada melaksanakan tuntutan Allah ke atas kita semua. menegakkan hukum Allah adalah wajib bagi kita selagimana tidak ada negara yang betul-betul melaksanakan hukum-hukum Allah secara total..Takbir!!!!

Allahhu Akbar Allahhu Akbar Allahhu Akbar WalilLah hilhamd.

Selamat Pengantin Baru


Salam Pernikahan...

Selamat Pengantin Baru buat ex-officio as-Syubban al-Islami & zaujah (akhi Mohd Arif) daripada kami di atas melangsungkan satu tuntutan agama dalam kehidupan manusia pada 29 Disember 2008 (Rumah zaujah) & 30 Disember 2008 (Rumah beliau di Jeli) . Kami semua doakan kebahagian buat dua mempelai ini hingga ke hujung hayat dan sentiasa di bawah payung rahmat ilahi dalam menjalani kehidupan yang penuh onak duri, serta teruskan perjuangan ini sehingga terlaksananya hukum Allah di dunia ini.

Siiru 'ala barakatillah,
Wassalam..

Ahad, 30 November 2008

10 Muwasofat Fardul Muslim

Salam Ukhwah & Perjuangan...

10 Muwasofat merupakan ciri-ciri utama pembinaan seorang kader dakwah. Dari detik pertama seseoarang itu menjejaki alam tarbiyyah, dia tidak dapat di pisahkan dengan pembinaan muwasofat-muwasofat ini sehingga dirinya terus di baluti oleh Islam yakni menjadi individu muslim yang unggul. Berikut merupakan sedikit pendetailan terhadap 10 Muwasofat.

Berkata Iman Hassan Al-Banna ketika melalui marhalah ini
'Wajib ke atas setiap muslim memulakan dengan memperbaiki dirinya, kesempurnaan itu dapat dilihat bila ia telah dapat memiliki beberapa perkara yang meletakkan ia di peringkat tertentu yang menjadikan ia mampu untuk memikul tanggungjawab amal Islami'

1. Akidah yang sejahtera (Salimul Aqidah)
· Redha Allah sebagai tuhan, Islam sebagai Agama dan Muhammad saw sebagai Nabi.
· Sentiasa muraqabah Allah dan mengingati akhirat, memperbanyakkan nawafil dan zikir.
· Menjaga kebersihan hati, bertaubat, istighfar, menjauhi dosa dan syubhat.

2. Ibadah yang betul (Sahihul Ibadah)
· Perlu melakukan ibadat yang meninggikan roh dan jiwanya.
· Perlu belajar untuk membetulkan amalannya dan mengetahui halal dan haram.
· Tidak melampau atau berkurang (pertengahan).

3. Akhlak yang mantap (Matiinul Khuluq)
· Akhlak kita ialah Al-Quran dan ditunjukkan oleh Nabi saw.
Dijelaskan beberapa unsur oleh Imam Al-Banna dalam kewajipan daie iaitu sensitif, tawadhu, benar dalam perkataan dan perbuatan, tegas, menunai janji, berani, serius, menjauhi teman buruk dll.

4. Mampu berusaha (Qaadiran ala Kasbi)
· Walaupun kaya, perlu bekerja.
· Tidak terlalu mengejar jawatan dalam kerajaan/resmi.
· Meletakkan jawatan dan tempat kerja mengikut keperluan dakwah lebih utama dari gaji
dan pendapatan.
· Melakukan setiap kerja dengan betul dan sebaiknya (ihsan).
· Menjauhi riba dalam semua lapangan.
· Menyimpan untuk waktu kesempitan.
· Menjauhi segala bentuk kemewahan apatahlagi pembaziran.
· Memastikan setiap sen yang dibelanja tidak jatuh ke tangan bukan Islam.

5. Berpengetahuan luas (Mutsaqqafal Fikri)
· Perlu berpengetahuan tentang Islam dan maklumat am supaya mampu menceritakan
kepada orang lain.
· Perlu bersumberkan kepada Al-Quran dan Hadis dan diterangkan oleh ulama yang thiqah.
· Pesan Imam Banna: Perlu boleh membaca dengan baik, mempunyai perpustakaan sendiri
dan cuba menjadi pakar dalam bidang yang diceburi.
· Mampu membaca Al-Quran dengan baik, tadabbur, mempelajari sirah, kisah salaf dan
kaedah serta rahsia hukum yang penting.

6. Kuat tubuh badan (Qawiyyal Jism)
· Dakwah berat tanggungjawab dan tugas - perlukan badan yang sihat dan kuat.
· Rasulullah saw menitikberatkan soal ini. Maksud Hadis : Mukmin yang kuat itu lebih
baik dan lebih dikasihi Allah dari mukmin yang lemah, tetapi pada keduanya ada
kebaikan
· Pesanan al-Banna:
Memeriksa kesihatan diri, mengamalkan riadhah dan tidak memakan/minum suatu yang
merosakkan badan

7. Mampu melawan nafsu (Mujahadah ala Nafsi)
· Perlu azam yang kuat untuk melawan kehendak nafsunya dan mengikut kehendak Islam.
· Tidak menghiraukan apa orang kata dalam mempraktikkan Islam.
· Daie mungkin melalui suasana sukar yang tidak akan dapat dihadapi oleh orang yang tidak
biasa dengan kesusahan.

8. Menjaga waktu (Haarithun ala Waqtihi)
· Waktu lebih mahal dari emas, waktu adalah kehidupan yang tidak akan kembali semula.
· Sahabat sentiasa berdoa agar diberkati waktu yang ada pada mereka..Aku adalah makhluk
baru.. menjadi saksi kepada manusia.

9. Tersusun dalam urusan (Munazzamun fi syu’unihi)
· Untuk manfaatkan waktu dengan baik.. perlu penyusunan dalam segala urusan.
· Gunakan segala masa dan tenaga tersusun untuk manfaat Islam dan dakwah.

10. Berguna untuk orang lain. (Nafi’un li ghairihi)
· Daie umpama lilin yang membakar diri untuk menyuluh orang lain.
· Daie adalah penggerak dakwah dan Islam. Masa depan Islam, hidup mati Islam bergantung
kepada daie.
· Amal Islam ialah untuk menyelamatkan orang lain dari kesesatan.
· Daie merasa gembira bila dapat membantu orang lain. Paling indah dalam hidupnya ialah
bila dapat mengajak seorang manusia ke jalan Allah.

Pergaulan Dalam Islam

(1) Batas Pergaulan Lelaki dan Perempuan Dalam Masyarakat.

1. Pengertian pergaulan.

Gaul atau campur dalam Bahasa Arab disebut “khalato” ( خلط ) . Bercampur atau bergaul disebut
( اختلاط ) yakni, apabila sesuatu itu bercampur dengan yang lain. Pergaulan antara lelaki dan perempuan bermaksud apabila lelaki dan perempuan, mahram atau ajnabi, bercampur atau bergaul dalam satu tempat, bilik, ruang atau dewan yang pada kebiasaannya mereka akan bertemu muka, berhadapan, berinteraksi, bercakap, bertegur sapa antara satu sama lain. Namun demikian perbincangan di sini akan memfokuskan kepada pergaulan antara lelaki ajnabi dengan perempuan.

Perkataan ajnabi bermaksud lelaki yang halal berkahwin dengan seseorang perempuan, sama ada halal sekarang atau akan halal pada masa akan datang.

2. Hukum asal pergaulan perempuan dan lelaki ajnabi .

Apakah hukum asal pergaulan antara lelaki ajnabi dengan wanita diharuskan atau ditegah ?. Untuk menjawab soalan ini kita perlu menjawab satu soalan lain. Soalan itu ialah: Apakah pergaulan perempuan dengan lelaki ajnabi sama sahaja dengan pergaulan lelaki dengan lelaki lain. Jawabnya tentu tidak, kerana amat jauh bezanya pergaulan lelaki sesama lelaki dengan pergaulan perempuan dengan lelaki ajnabi. Oleh kerana ia tidak sama maka hukumnya juga tidak sama. Dan oleh kerana hukum asal pergaulan antara lelaki dengan lelaki adalah diharuskan maka hukum asal pergaulan antara lelaki ajnabi dan perempuan adalah tidak diharuskan. Yakni ditegah.

Tiada dalil syarak yang sahih menunjukkan hukum pergaulan lelaki dan perempuan ditegah. Tegahan hanya dapat dirumuskan berdasarkan dalil-dalil syarak dalam kes-kes lain. Kes-kes itu ialah:

2.1.Wanita ditegah musafir tanpa mahram dan tegahan khalwat.

Rasulullah (s) bersabda: لاتسافر المرأة إلا مع ذى محرم ولا يدخل عليها رجل إلا ومعها ذو محرم

Baginda bersabda lagi: لا يخلون رجل بامرأة إلا ومعها ذو محرم

Kedua dua hadis ini menegah wanita musafir dan berkhalwat dengan lelaki ajnabi tanpa mahram. Hukum ini telah disepakati oleh para fukaha. Tidak ada perbezaan antara khulwat semasa solat dan di luar solat. Selain daripada itu para fukaha juga sepakat mengecualikan tegahan pergaulan ini atas alasan darurat atau hajah. Pengecualian ini menunjukkan bahawa hukum asalnya ialah ditegah. Kalau ia tidak ditegah apa perlunya ia dikecualikan semasa darurat dan hajah.

Kesimpulannya, nas syarak ini membuktikan bahawa hukum asal pergaulan antara lelaki ajnabi dengan wanita adalah ditegah.

3. Bergaul dalam keadaan tertentu.

Walau pun hukum asal pergaulan antara wanita dan lelaki ajnabi adalah ditegah, tetapi ia dibolehkan atas alasan darurat, hajah syar`iyyah, maslahat syar`iyyah atau kerana kebiasaan adat setempat yang syar`ie.

3.1.Boleh bergaul kerana darurat.

Boleh bergaul lelaki dan perempuan ajnabi atas alasan darurat. Contohnya lelaki lari bersama perempuan ajnabiyah (bukan mahram) untuk mengelakkannya daripada diperkosa.

3.2.Boleh bergaul kerana hajah.

a) Boleh bergaul kerana urusan muamalat yang syar`ie seperti jual beli dan lainnya dengan syarat tidak berkhalwat.

b) Boleh bergaul kerana melaksanakan tugas kehakiman dan perbicaraan. Dalam Mazhab Hanafi wanita boleh jadi hakim dalam kes-kes bukan hudud, malah Mazhab al-Zahiri berpendapat boleh dalam semua kes. Tugas hakim memerlukan wanita bergaul dengan lelaki.

c) Boleh bergaul kerana wanita perlu mengemukakan kesaksian dalam perbicaraan. Wanita memang boleh jadi saksi. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 282:

فإن لم يكونا رجلين فرجل وامرأتان ممن ترضون من الشهداء

“jika keduanya (saksi) bukan dua lelaki maka ia hendaklah terdiri dari seorang lelaki dan dua orang perempuan dari kalangan saksi yang kamu reda”.

d) Boleh bergaul kerana wanita menjalankan tugas-tugas penguatkuasaan. Umar bin al-Khattab telah melantik al-Syifa’ sebagai pegawai penguat kuasa di majlis perbandaran.

e) Boleh bergaul untuk tujuan memberi khidmat kepada tetamu ajnabi jika suami turut hadir bersama. Bukhari meriwayatkan, apabila Abu Usaid berkahwin dia menjemput Rasulullah (s) dan sahabat. Tiada siapa yang menyedia dan menghidangkan makanan kecuali isterinya Ummu Usaid. Dia membasahkan tamar dan meletakkannya ke dalam bekas diperbuat dari batu. Kejadian itu berlaku waktu malam. Apabila Baginda selesai makan Ummu Usaid Mengesat tangan Baginda dan memberinya minum. Dia melayan Baginda dengan baik. Jelas hadis ini menunjukkan Ummu Usaid berada bersama suaminya memberi khidmat kepada Rasulullah (s) sebagai tetamu. Bagi saya, kedudukan Baginda sebagai Rasul perlu diambil kira.

f) Boleh bergaul kerana menghormati tetamu. Dalam Sahih Muslim dikesahkan tentang seseorang telah datang menemui Rasulullah (s). Baginda lantas bertanya para sahabat, siapa yang sanggup menerima lelaki tersebut sebagai tetamu. Seorang sahabat dari al-Ansar mengatakan “saya ya Rasulullah”. Setelah itu dia pun beredar balik ke rumah bertanyakan isterinya “kamu ada sesuatu ”. Yakni untuk dimakan. Jawab isterinya “tidak, kecuali untuk makanan anak-anak saya”. Jawab lelaki itu “lengah-lengahkan mereka dengan sesuatu, apabila tetamu kita datang padamkan lampu dan perlihatkan seolah-olah kita makan. Apabila dia mula makan kamu berdiri dan padamkanlah lampu”. Suami isteri tersebut duduk bersama tetamu mereka yang terus makan.. Apabila subuh, lelaki itu berjumpa Rasulullah (s), Baginda bersabda kepadanya “ Allah kagum terhadap apa yang kamu lakukan kepada tetamu kamu malam tadi”. Hadis ini menunjukkan isteri Ansari tersebut berada bersama suaminya melayan tetamu mereka makan.

g) Boleh bergaul dalam kenderaan awam kerana hajah/keperluan menggunakannya. Wanita dibenarkan keluar untuk menunaikan keperluan yang syar`ie seperti menziarahi keluarga, mendapat rawatan di hospital dan lainnya. Ini membuatkannya terpaksa menggunakan kenderaan awam. Mungkin berlaku pergaulan dalam kenderaan awam atau semasa menunggu untuk mendapat rawatan doktor atau semasa mengambil ubat di farmasi. Pergaulan wanita dan lelaki ajnabi dalam bentuk ini diharuskan atas dasar hajah dan keperluan syar`ie dan dengan syarat mematuhi hukum-hukum dan adab-adab Islam lain.

h) Boleh bergaul kerana tujuan berjihad fi sabilillah. Ini telah berlaku apabila sahabiyat turut serta dalam medan perang memberikan rawatan kepada mereka yang luka, menyediakan makanan dan menghantar pulang mereka yang syahid ke Madinah. Kegiatan ini menuntut wanita dan lelaki ajnabi bercampur , tetapi ia dibolehkan kerana menyempurnakan tuntutan syarak. Rabi`e Binti Mu`awiz berkata: “kami bersama Rasulullah (s) memberi minum dan merawat mereka yang luka dan menghantar pulang mereka yang terkorban ke Madinah”.

i) Boleh bergaul lelaki dan perempuan ajnabi untuk tujuan mendapat nasihat, teguran dan bimbingan. (mendengar ceramah agama dalam konteks hari ini) Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Abbas: Pada (satu) hari raya Baginda keluar dan solat dua rakaat. Baginda tidak solat sebelum dan sesudahnya. Kemudian baginda menghala kepada kumpulan kaum wanita dan mengarahkan mereka supaya bersedekah. Mereka pun menyerahkan gelang dan rantai. Hadis ini jelas menunjukkan kaum wanita turut berada dalam majlis tersebut.

4. Pergaulan ajnabi masa kini.

Di antara pergaulan lelaki dan perempuan ajnabi yang berlaku masa kini ialah pergaulan semasa ziarah menziarahi keluarga, kawan dan sahabat handai. Pergaulan juga berlaku dalam majlis-majlis rasmi atau tak resmi; mesyuarat, kenduri kendara, sambutan hari tertentu dan lainnya. Dalam ziarah dan majlis seperti ini biasanya akan berlaku pergaulan antara wanita dan lelaki ajnabi dalam satu bilik, ruang, makan bersama dalam satu hidangan, atau mesyuarat di satu meja. Sudah pasti berlaku interaksi, perbualan dan sebagainya.

Pergaulan seperti ini adalah diharuskan dengan syarat semua pihak yang hadir mestilah berpegang teguh dengan hukum-hukum syarak yang berkaitan dengan pakaian, percakapan dan pandang memandang antara lelaki dan wanita. Mereka yang hadir mestilah menutup aurat dengan sempurna. Wanita tidak boleh menampakkan tubuhnya walau sedikit pun kecuali muka dan tapak tangan. Pakaian yang mereka pakai juga mestilah tidak nipis, tidak ketat sehingga menjelaskan susuk tubuh mereka. Tidak bertabarruj. Percakapan mereka juga mestilah berlaku seperti biasa, tidak dimanja-manja dan dilunak-lunakkan. Pandang memandang mestilah tidak ada unsur nafsu dan syahwat, berperaturan, tidak berlaku khalwat, tidak bercampur aduk melampau yang tiada batas. Jika hukum, peraturan, adab dan tata susila ini tidak dapat dipatuhi pergaulan itu adalah ditegah.

5. Pergaulan di dalam konteks berorganisasi/jemaah/program-program

Pergaulan di dalam konteks berjemaah juga mempunyai asas dan dasar hukum yang sama, bahkan dasar dan hukum ini adalah terpakai untuk semua bentuk pergaulan yang bermatlamatkan kebaikan dan kemashlahatan ummah. Ini bermakna pergaulan di dalam konteks berjemaah ataupun berprogram masih lagi tertakluk kepada tiga keperluan sebagaimana yang telah dihuraikan sebelum daripada ini. Tiga keperluan tersebut adalah :

a) darurah

b) hajiah syar’iyyah

c) maslahah syar’iyyah / adat setempat yang diterima oleh hukum syara’.

Syarat-syarat pergaulan ini tetap tertakluk kepada beberapa syarat yang telah digariskan. Antaranya ialah:

i) Aman daripada fitnah

ii) Tidak berdua-duaan

iii) Sempurna menutup aurat bagi perempuan mahupun lelaki

iv) Tidak melunakkan suara bagi perempuan

v) Berhubung pada sekadar keperluan sahaja

vi) Pandangan yang tidak menaikan syahwat atau ghairah

vii) Tidak bercampur dalam konteks yang melampaui batas

Oleh yang demikian, tiada alasan yang boleh menghalalkan percampuran/atau pergaulan bagi perempuan dan lelaki yang ajnabiyy walaupun bersama-sama di dalam bekerja ke arah kebaikan islam. Bahkan, bagi seorang da’ie atau muslimat mahupun muslimin jemaah, menundukkan pandangan, aurat dan pergaulan perlu dijaga dengan lebih ketat lagi kerana mereka adalah pembawa risalah dan da’wah islam. Tidak halal bagi sesiapa sahaja untuk mengharuskan pergaulan tanpa memenuhi kehendak dan batasan-batasan hukum syara’ sebagaimana yang telah digariskan. Program-program jemaah seharusnya diatur dengan mengelakkan percampuran yang melampau daripada lelaki dan perempuan bagi mengelakkan fitnah serta memberi ruang kepada syaitan untuk berbuat fitnah dan kerosakan.

Ini bukanlah bermakna pandangan seumpama ini merupakan pandangan yang ortodoks atau jumud, tetapi Islam menganjurkan konsep “mencegah lebih baik daripada merawat”. Kita mengakui bahwa pada zaman kontemporari ini, percampuran dan pergaulan di antara lelaki dan perempuan adalah menjadi satu keprluan, lebih-lebih lagi di dalam konteks jemaah kampus pada hari ini. Cuma sebagaimana yang telah ditekankan bahawa percampuran dan pergaulan itu perlulah selari dengan apa yang telah digariskan oleh hukum syara’ supaya ianya tidak menjadi fitnah yang lebih besar kepada islam dan jemaah Islam itu sendiri. Profesor Dr. Yusof Al-Qardhawi pernah menyatakan bahawa manusia tidak boleh dipercayai di dalam hubungan yang berlainan jantina kerana ianya merupakan permulaan kepada fitnah yang lebih besar. Ungkapan “sepinggan pahala berulam dosa” seharusnya diteliti, difahami maksudnya oleh para penggerak perjuangan islam supaya perjuangan ini tetap berada pada landasan yang suci dan benar.

KESIMPULAN

Islam bukanlah satu agama yang jumud. Islam mengatur kehidupan umatnya untuk menghasilkan kebaikan dan mashlahah keseluruhan di dalam kehidupan manusia. Sistem sosial masyarakat islam jika baik aturannya mengikut acuan al-Quran dan As-Sunnah pasti mengundang keberkatan dan dilimpahkan sepenuh kebaikan daripada Allah. Islam memahami keperluan naluri dan fitrah manusiawi kerana islam itu datangnya daripada Allah yang merupakan pencipta kepada manusia.Bagi penggerak kepada harakah islamiyyah, haruslah difahami bahawa setiap fitrah itu berlu hadir dan dikawal dengan hidayah, kerana tanpa hidayah, fitrah tersebut akan menjadi fitnah!

Rujukan :

1. Artikel Ust Alias Othman-Pergaulan Silang Jantina dalam masyarakt masa Kini

2. Prof. Dr. Yusof Al-Qardhawi – Fatwa-fatwa Kontemporari Jilid II

3. Fiqh Malaysia-Akademi Pengajian Islam, UM