Ahad, 7 Disember 2008

SALAM AIDIL ADHA 1426H

Sahabat yang dirahmati Allah sekalian...

Diucapkan selamat Hari Raya Idul Adha semoga semua sihat dan aman sentosa. Pada hari yang berbahagia ini hendaklah kita menyambut Hari Raya Idul Adha dengan penuh kesyukuran kepada Allah serta mengingati kebesarannya dengan melafazkan kalimah takbir dan tahmid di samping melakukan ibadat korban baki sesiapa yang mempunyai kemudahan dan kemampuan.

Hari Raya ini dikenal dengan Hari Raya Haji kerana bersempena dengan umat Islam pada hari ini sedang berhimpun di tanah suci Mekah untuk menunaikan ibadat haji atau dipanggil juga Hari Raya korban kerana diperintah supaya kita berkorban, sekaligus mengingatkan kita kembali sejarah pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Allah Ibrahim a.s, ketika Allah S.W.T memerintah beliau menyembelih korban kesayangannya iaitu Nabi Ismail a.s.

Perintah ini dilakukan oleh Nabi Ibrahim dengan penuh keikhlasan dan keyakinan serta mengatasi perasaan sayang kepada anaknya. Begitu juga anaknya Ismail dengan rela hati menyerah dirinya untuk dikorbankan demi menjunjung perintah Allah. Walaupun Allah menggantikan penyembelihan anaknya dengan tebusan seekor kibas, tetapi Allah sifatkan Nabi Ibrahim itu telah mengorbankan anak sulungnya, Nabi Ismail kerana kesungguhan dan azamnya melaksanakan perintah Allah melalui mimpinya yang benar itu.

Seperti mana Firman Allah S.W.T dalam Surah As-Saffaat ayat 103-105 yang bermaksud:

“Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah itu) dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya, atas tompok tanah (untuk disembelih) serta kami menyerunya: Wahai Ibrahim, “Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu,” demikianlah sebenarnya kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan”.
Allah menjelaskan bahawa perintah kepada Nabi Ibrahim supaya menyembelihkan anaknya itu sebagai ujian. Seperti mana Firman Allah dalam Surah As-Saffaat ayat 106-107 yang bermaksud:

” Sesungguhnya perintah ini ialah satu ujian yang nyata. Dan kami telah tebuskan anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar (kibas).”

Kepatuhan yang ditunjukkan oleh Ibrahim dan anaknya Ismail a.s adalah hasil daripada kecintaan kepada Allah S.W.T mengatasi kecintaan kepada sesuatu yang lain. Sewajarnya kepatuhan yang telah dilaksanakan oleh kedua-dua beranak ini menjadi ikutan dan tauladan kepada kita yang melaksanakan tuntutan dakwah dibumi barakah ini pada hari ini dalam melaksanakan tuntutan dan perintah Allah S.W.T. Sama-samalah kita teruskan perjuangan untuk memastikan Kalimah Toiyyibah ini tertegak di bumi barakah, jauhilah kita semua dari mencari kepentingan peribadi daripada melaksanakan tuntutan Allah ke atas kita semua. menegakkan hukum Allah adalah wajib bagi kita selagimana tidak ada negara yang betul-betul melaksanakan hukum-hukum Allah secara total..Takbir!!!!

Allahhu Akbar Allahhu Akbar Allahhu Akbar WalilLah hilhamd.

Tiada ulasan: